Kisah bermula disebuah kerajaan yang diperintah oleh Raja Katak.
Kerajaan ini diberi nama Kerajaan Lompat-Lompat (berikutan katakkan suka
lompat-lompat). Raja Katak ini ada kelemahannya iaitu terlalu mudah percayakan
orang luar dan terlalu mudah untuk dipengaruhi. Menteri-menteri dalam Kerajaan
Lompat-Lompat ini sudah tidak berupaya menasihati si Raja Katak kerana
kedegilannya.
Pada suatu
hari, si Raja Katak telah didatangi oleh si Raja Tedung. si Raja Tedung
merupakan raja kepada Kerajaan Patuk-Patuk (berikutan tedungkan suka patuk
mangsanya). Raja Katak menerima kunjungan Raja Tedung tanpa sebarang rasa
keraguan di hati. Tetapi Raja Katak tidak menyedari bahawa si Raja Tedung
mengunjungi kerajaan Lompat-Lompat dengan niat yang jahat.
Kerana terlampau percayakan kepada kebaikan
serta keikhlasan si Raja Tedung, Raja Katak telah membenarkan si Raja Tedung
bermalam serta menetap di Istana Tempurungnya selama mana yang si Raja Tedung
kehendaki. Walau bagaimanapun, kumpulan Menteri Kerajaan Lompat-Lompat terlebih
dahulu mengetahui akan niat jahat yang dibawa oleh si Raja Tedung.
Menteri-menteri kerajaan Lompat-Lompat mengetahui niat jahat si Raja Tedung
daripada pengintip khas mereka iaitu James Ti-Kus. Oleh itu, kumpulan menteri
telah berkumpul di satu kawasan yang rahsia dan berbincang sesama mereka akan
hal ini. (bayangkan situasi katak-katak berbincang...macam mana agaknya???..ong
ong ong..ong ong ong ong ong..ong ong ong ong..onggggg..)
Setelah
berbincang berhari-hari, kumpulan menteri Kerajaan Lompat-Lompat ini telah
memutuskan untuk menghantar seorang wakil menghadap Raja Katak bagi memberitahu
perkara yang sebenar akan niat Raja Tedung.
Oleh itu, Menteri Tua kerajaan Lompat-Lompat telah
diamanahkan untuk menghadap dan memberitahu akan hal yang sebenar kepada Raja
Katak. Ketika masuk menghadap Raja Katak, Menteri Tua ini telah menceritakan
segala-galanya akan perancangan serta niat jahat si Raja Tedung. Raja Katak
mendengar dan mula terpengaruh dengan penjelasan Menteri Tua. Walau bagaimanapun
tanpa Raja Katak dan Menteri Tua sedari, Raja Tedung telah mencuri dengar akan
perbualan serta perbincangan Raja Katak dengan Menteri Tua Kerajaan
Lompat-Lompat.
Setelah
menteri Tua pulang, Raja Tedung mula menghadap Raja Katak dan memberitahu
bahawa dia telah mendengari akan perkhabaran yang dibawa oleh Menteri Tua
tersebut. Dengan muka yang sayu dan suara yang mendayu si Raja Tedung menafikan
segala yang diceritakan oleh menteri Tua tadi. Ini telah menyebabkan Raja Katak
mula mempercayai kepada Raja Tedung dan mula marah dengan sikap Menteri Tua
yang membawa khabar palsu padanya. Raja Katak mengarahkan agar menteri Tua
serta kaum menteri yang lain dibuang negeri dengan serta merta.
Menteri Tua
dan kumpulan menteri yang lain akur pada hukuman yang dikenakan pada mereka. Mereka
mula keluar meninggalkan Kerajaan Lompat-Lompat dan berjanji bahawa tidak akan
sesekali memberi sebarang bantuan andainya Kerajaan Lompat-Lompat menerima
malang. Setelah mendengari bahawa semua kumpulan Menteri Kerajaan Lompat-Lompat
keluar dari kerajaan tersebut, Raja Tedung berasa gembira kerana perancangannya
untuk memusnahkan kerajaan Lompat-Lompat hampir tercapai.
Pada suatu
malam, Raja Tedung telah mengarahkan bala tentera dari Kerajaan Patuk-Patuk
menyerang Kerajaan Lompat-Lompat. Kerana benteng utama Kerajaan Lompat-Lompat
telah dihalau keluar oleh Raja Katak, Kerajaan Lompat-Lompat dengan mudahnya
berjaya dimusnahkan. Matilah si Raja Katak kerana patukan si Raja Tedung dan
bergelimpanganlah rakyat-rakyat Kerajaan Lompat-Lompat kerana patukan tentera Kerajaan
Patuk-Patuk.
Tamatlah
ceritera kegemilangan Kerajaan Lompat-Lompat. Kerana Raja Katak yang terlampau
percayakan orang luar daripada menteri-menterinya sendiri, Kerajaan
Lompat-Lompat menerima malang dan dimusnahkan oleh Raja Tedung. Di kerajaan
Patuk-Patuk pula, Raja Tedung dan bala tentera serta rakyatnya menari-nari
sakan meraikan kejayaan mereka membunuh Raja Katak dan memusnahakan Kerajaan
Lompat-Lompat.
by : SNA'Z
## moral : jangan terlampau percayakan orang luar..dan apa
hal sekalipun, kita mesti selidik dulu setiap perkara sebelum menjatuhkan
hukuman kepada seseorang.