Friday, November 22

RAJA KATAK vs RAJA TEDUNG


Kisah bermula disebuah kerajaan yang diperintah oleh Raja Katak. Kerajaan ini diberi nama Kerajaan Lompat-Lompat (berikutan katakkan suka lompat-lompat). Raja Katak ini ada kelemahannya iaitu terlalu mudah percayakan orang luar dan terlalu mudah untuk dipengaruhi. Menteri-menteri dalam Kerajaan Lompat-Lompat ini sudah tidak berupaya menasihati si Raja Katak kerana kedegilannya.

          Pada suatu hari, si Raja Katak telah didatangi oleh si Raja Tedung. si Raja Tedung merupakan raja kepada Kerajaan Patuk-Patuk (berikutan tedungkan suka patuk mangsanya). Raja Katak menerima kunjungan Raja Tedung tanpa sebarang rasa keraguan di hati. Tetapi Raja Katak tidak menyedari bahawa si Raja Tedung mengunjungi kerajaan Lompat-Lompat dengan niat yang jahat.

          Kerana terlampau percayakan kepada kebaikan serta keikhlasan si Raja Tedung, Raja Katak telah membenarkan si Raja Tedung bermalam serta menetap di Istana Tempurungnya selama mana yang si Raja Tedung kehendaki. Walau bagaimanapun, kumpulan Menteri Kerajaan Lompat-Lompat terlebih dahulu mengetahui akan niat jahat yang dibawa oleh si Raja Tedung. Menteri-menteri kerajaan Lompat-Lompat mengetahui niat jahat si Raja Tedung daripada pengintip khas mereka iaitu James Ti-Kus. Oleh itu, kumpulan menteri telah berkumpul di satu kawasan yang rahsia dan berbincang sesama mereka akan hal ini. (bayangkan situasi katak-katak berbincang...macam mana agaknya???..ong ong ong..ong ong ong ong ong..ong ong ong ong..onggggg..)

          Setelah berbincang berhari-hari, kumpulan menteri Kerajaan Lompat-Lompat ini telah memutuskan untuk menghantar seorang wakil menghadap Raja Katak bagi memberitahu perkara yang sebenar akan niat Raja Tedung.
Oleh itu, Menteri Tua kerajaan Lompat-Lompat telah diamanahkan untuk menghadap dan memberitahu akan hal yang sebenar kepada Raja Katak. Ketika masuk menghadap Raja Katak, Menteri Tua ini telah menceritakan segala-galanya akan perancangan serta niat jahat si Raja Tedung. Raja Katak mendengar dan mula terpengaruh dengan penjelasan Menteri Tua. Walau bagaimanapun tanpa Raja Katak dan Menteri Tua sedari, Raja Tedung telah mencuri dengar akan perbualan serta perbincangan Raja Katak dengan Menteri Tua Kerajaan Lompat-Lompat.

          Setelah menteri Tua pulang, Raja Tedung mula menghadap Raja Katak dan memberitahu bahawa dia telah mendengari akan perkhabaran yang dibawa oleh Menteri Tua tersebut. Dengan muka yang sayu dan suara yang mendayu si Raja Tedung menafikan segala yang diceritakan oleh menteri Tua tadi. Ini telah menyebabkan Raja Katak mula mempercayai kepada Raja Tedung dan mula marah dengan sikap Menteri Tua yang membawa khabar palsu padanya. Raja Katak mengarahkan agar menteri Tua serta kaum menteri yang lain dibuang negeri dengan serta merta.

          Menteri Tua dan kumpulan menteri yang lain akur pada hukuman yang dikenakan pada mereka. Mereka mula keluar meninggalkan Kerajaan Lompat-Lompat dan berjanji bahawa tidak akan sesekali memberi sebarang bantuan andainya Kerajaan Lompat-Lompat menerima malang. Setelah mendengari bahawa semua kumpulan Menteri Kerajaan Lompat-Lompat keluar dari kerajaan tersebut, Raja Tedung berasa gembira kerana perancangannya untuk memusnahkan kerajaan Lompat-Lompat hampir tercapai.

          Pada suatu malam, Raja Tedung telah mengarahkan bala tentera dari Kerajaan Patuk-Patuk menyerang Kerajaan Lompat-Lompat. Kerana benteng utama Kerajaan Lompat-Lompat telah dihalau keluar oleh Raja Katak, Kerajaan Lompat-Lompat dengan mudahnya berjaya dimusnahkan. Matilah si Raja Katak kerana patukan si Raja Tedung dan bergelimpanganlah rakyat-rakyat Kerajaan Lompat-Lompat kerana patukan tentera Kerajaan Patuk-Patuk.

          Tamatlah ceritera kegemilangan Kerajaan Lompat-Lompat. Kerana Raja Katak yang terlampau percayakan orang luar daripada menteri-menterinya sendiri, Kerajaan Lompat-Lompat menerima malang dan dimusnahkan oleh Raja Tedung. Di kerajaan Patuk-Patuk pula, Raja Tedung dan bala tentera serta rakyatnya menari-nari sakan meraikan kejayaan mereka membunuh Raja Katak dan memusnahakan Kerajaan Lompat-Lompat.


by : SNA'Z



## moral : jangan terlampau percayakan orang luar..dan apa hal sekalipun, kita mesti selidik dulu setiap perkara sebelum menjatuhkan hukuman kepada seseorang.

No comments:

Post a Comment